Di sepanjang perjalanan ini banyak yang dapat saya pelajari. Tetapi makin banyak yang saya pelajari, terasa makin sedikitnya ilmu saya ini.
Di awal-awal era perubahan dan kefahaman yang saya lalui, saya akui saya bersikap agak agresif dalam mencari, berorientasikan fahaman wahabi dan salafi. Saya banyak bertanya kerana saya merasakan sebelum ini Islam telah dilihat sebagai agama yang ditindas, malah orang melayu sendiri tidak merasakan Islam sebagai cara hidup kerana terlalu banyak amalan tambahan yang dilihat sukar. Selain daripada tidak memahami Islam itu sebagai ad-deen (cara hidup). Alhamdulillah saya dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang mengajar saya erti, tidak mengapa bertanya tentang agama.
" Ya Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana engkau menghidupkan makhluk yang sudah mati." Allah berfirman : Belum percayakah engkau?" Nabi Ibrahim menjawab : "Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang (mantap) dan agar makin menjadi tebal dan kukuh keyakinanku" - Al-Baqarah : 260
Saya mencari kefahaman yang kukuh dan inginkan Islam yang tulen. Saya bimbang berubah arah menjadi seperti penganut Kristian yang tidak mengenali agama mereka sendiri dan tidak mengenal sejarah agama. Saya mencari hujah di setiap ibadah, bimbang-bimbang ritual yang dilaksanakan hanyalah adat dan bukan ibadat. Saya banyak bertanya dan mengambil sikap mengkritik mereka-mereka yang menjadikan agama ini susah.
Setibanya di Mesir saya mengenali ilmu tassawwuf dan sufi. Rupanya hidup ini bukan setakat mencari kebenaran di dalam agama. Tetapi kita juga mencari cinta Allah dan RasulNya.
Asal-asalnya saya tidak faham kenapa ulama' haraki terlalu banyak menggariskan itu dan ini. Akhirnya selepas mencari dan mencari saya menyedari rupanya ketidakfahaman saya adalah hasil dari kejahilan ilmu saya sendiri. Kekerasan saya mungkin menjadikan orang yang ingin memberi ilmu itu berlalu pergi.Ilmu itu dicari, bukan datang dengan sendiri. Kedegilan saya hanya akan merugikan diri.
Dalam mengatakan salah, saya tidak lagi terlalu keras mengatakan salah. Ini kerana saya sendiri tidak tahu mungkin orang yang ingin saya kritik (nasihat sebenarnya =P) itu lebih berilmu daripada saya. Mungkin beliau mempunyai hujah dan dalil yang jauh lebih kukuh dan mengikut kaedah usul yang betul. Semakin saya fahami, pepatah resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.
Akhirnya saya mengerti..
Salafi dan wahabi, tanpa tasawwuf dan sufi itu aggresif !
Tasawwuf dan sufi, tanpa salafi dan wahabi itu syok sendiri !
Alhamdulillah..
Saya menjumpai cinta sufi dan tasawwuf untuk digabung bersama salafi dan wahabi!
No comments:
Post a Comment