Monday, April 14, 2014

Baitul Haraki Part I

Salam alaik semua 

Kun faa yaa kun 
Seperti yang dijanjikan, cerita ini ditulis untuk seorang kawan. Alhamdulillah lama betul peluang nak dapat menulis dan update blog. Maaf kepada sahabat-sahabat sebab tak sempat nak undang tiba-tiba nikah. In shaa Allah kesempatan ini nak cerita secara ringkas sahaja dulu, kalau ada peluang in shaa Allah lepas ini akan sambung di post-post akan datang kisah yang lebih detail :)

Maaf juga kalau cerita yang cuba diringkaskan ini, tetap panjang :D

Mukadimahnya tak jangka juga nak nikah. Mungkin sebelum nikah, ada orang yang pernah digosipkan, pernah berurusan atau mungkin juga yang kita harapkan dialah 'The One', tapi akhirnya bukan. Panjangnya perjalanan, Allah jugalah yang meletakkan sebaik-baik penetapan.

Seawalnya saya memang elakkan diri untuk memberi hati kepada sesiapa. Kalau terdetik di hati rasa suka, mungkin kepada orang yang baik-baik. Lumrah dan fitrahnya manusia memang suka pada kebaikan. Tapi untuk bercinta, tiada dalam senarai pilihan. Sebabnya takut putus cinta (kot?) :D Saya fikir bercinta itu buang masa, kalau kita suka entah siapa sedangkan belum tentu dia jodoh kita. Jadi saya ambil pilihan untuk tawakal, usaha, tunggu, lihat dan doa :)

Usaha saya adalah dengan cubaan melengkapkan diri dengan agama - kononnya untuk 'The One' saya nanti  

Alhamdulillah banyak pelajaran yang Allah swt beri di sepanjang fasa sebelum bergelar isteri. Pergi kelas agama, talaqqi, tambah ilmu dan siapkan amal fardhi. Membaca, belajar dan aplikasi. Menyelami peranan wanita bermula sebagai anak, isteri, ibu, dan seterusnya. Saya mula belajar disiplinkan diri dan penuhi masa dalam gerak kerja dakwah. Memberi dan terus memberi.

Sebelum bernikah kalau malas ambil tahu tentang agama, kerap ponteng kuliah, tak susun masa untuk kerja dakwah, bila lepas kahwin, jangan haraplah. Memang lagi susah! 

Alhamdulillah di sepanjang proses ini saya menjumpai 'The One' yang saya nanti-nantikan. 

Ketika itulah saya mula mengerti erti hidup ini. Di jalan inilah saya mengenal 'The One' saya, Allah swt. Moga-moga hidup saya ini bukan untuk dunia atau isinya. Biarlah sepenuh cinta diletakkan pada Islam dan jalan dakwahNya. Sebagaimana para sahabat Rasulullah s.a.w. yang wafat di medan jihad, sebelum sempat bernikah. In shaa Allah bagi mereka jodohya di syurga. Dengan harapan saya juga sama. Tidak perlu difikir-fikir untuk nikah muda, entah-entah mati muda. Kalau sudah ada cinta Dia, cukuplah segalanya :)

Mudahnya berkata-kata, Allah swt akan menguji hati hamba-hambaNya. Di sepanjang perjalanan itu, jujurnya memanglah sangat susah. Ujian jiwa dan diri, dek kerana lemahnya iman. Sebagai hamba tetap sajalah saya berdoa, agar Allah swt membantu menjauhkan diri dari fitnah ajnabi. Diri ini mengetahui kelemahan hati dan iman sendiri. Mohon doa dari semua, agar Allah swt mengampunkan dosa-dosa saya.

Disepanjang tempoh ini, ada juga yang cuba bertanya tentang saya. Tetapi saya lebih mengetahui siapa saya sebelum ini. Adakah sebenarnya saya yang mereka cari? Saya ini orang yang baru dalam agama ini, baru mengerti, baru memahami. Dalam mencari jawapan, saya sentiasa berdoa kepada Allah swt agar diberi keredhaan. Seandainya tiada jodoh antara kami, saya yakin Allah swt akan datangkan kesusahan atau rintangan yang tersendiri. 

Kadangkala kita rasa dialah orangnya, tetapi tiba-tiba timbul pula masalah keluarga, situasi, jarak, masa dan macam-macam lagi. Ada juga yang ingin bertunang 2 atau 3 tahun, tetapi berhubung tanpa ikatan sah bagi tempoh yang lama bukan pilihan saya kerana saya takut banyak dugaannya. Di setiap itu juga saya yakin ada hikmahnya.

Tahun 2013 saya belum terfikir lagi akan berkahwin. Saya rancang untuk tidak pulang ke Malaysia masa cuti musim panas ini (Jun - September). 

Suami saya yang sekarang ni, kami pernah bekerja sekali sewaktu program sambutan pelajar-pelajar baru ke Mesir (AHLAN 2011 PERUBATAN Cawangan Mansurah). Dia sebagai ketua unit Multimedia dan saya ditaklifkan menjadi timbalan beliau. Kami berhubung atas dasar kerja dakwah dan selepas itu kami sudah tidak berhubung lagi. Sehinggalah tahun 2013, saya pun sudah tiada nombor telefon beliau.

Tahun 2013 di akhir bulan Julai, ketika ini, saya menyambut Ramadhan di Mesir. Di waktu ini, keadaan Mesir tidak stabil kerana Presiden Mesir yang sah, Dr Mursi telah ditangkap. Ketika inilah dia menghubungi saya dan memberitahu hajatnya untuk menjadikan saya sebagai isterinya yang sah. Saya menjelaskan kepada beliau, saya tidak berminat untuk berkenalan atau bercinta-cinta. Dia juga memberitahu kepada saya perkara yang sama. Dia kata : Samada kita kahwin atau tiada apa-apa. Something or nothing. Yang halal tidaklah sama nilainya dengan yang haram.

Saya tidak memberikan jawapan lagi ketika itu kerana saya juga tidak berapa mengenali peribadinya. Dia akan masuk ke tahun 5 perubatan, saya akan masuk tahun 4, selebihnya saya tidak tahu. Saya berikan nombor mak dan ayah saya, agar mereka sahaja yang berbincang sekiranya dia serius. Saya tidak kisah sangat soal rupa atau harta, yang paling PENTING, agama! Seandainya dia seorang yang baik atau menuju ke arah kebaikan, in shaa Allah tiada masalah diperingkat saya. Dalam masa yang sama saya juga meminta bantuan seorang rakan untuk merisik pada kawan-kawan rapat dia tentang sikap dan perangainya. Bagaimana dia dari segi tanggungjawab, pelajaran, keluarga, peribadi. Jawapan mereka, menjadikan saya yakin sahaja dia seorang yang baik, cuma berasa sedikit berat hati kerana dia orang Terengganu. (Jauhnyaaaa) >.<

Akhir Ogos, 2013 saya menyambut Aidilfitri di perantauan. Memang tiada rancangan untuk bernikah dalam masa terdekat, jadi saya fikir, saya masih ada banyak masa lagi untuk memberikan jawapan. Di pihak suami saya sendiri pun tiada rancangan untuk balik ke Malaysia cuti ini. 

Tiba-tiba di akhir Ogos, 2013, kami diarahkan pulang ke Malaysia (evakuasi) kerana keadaan Mesir yang tidak stabil. 

Dalam masa yang sama juga, keluarga kami telah membuat keputusan sekiranya kami balik kerana evakuasi, sebaiknya kami dinikahkan sahaja terus. Dua keluarga besar kami, tidak pernah berjumpa pun, hebatnya semua proses hanyalah melalui telefon. Kami sendiri juga sangat-sangat tidak menyangka yang kami akan bernikah dalam proses yang sangat dimudahkan oleh kedua ibu bapa kami dalam tempoh perbincangan tidak sampai sebulan pun. Begitulah alhamdulillah Allah swt merancangkan itu untuk kami. Segala puji milik Allah swt, Tuhan seluruh alam.

Perancangan majlis perkahwinan kami hanya berlangsung dalam tempoh dua minggu. Duit simpanan pun tiada sangat, memandangkan memang tiada rancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat. Pada awalnya saya fikir untuk majlis nikah yang ringkas sahaja. Pada saya, jamu nasi lemak pada ahli masjid sahaja pun sudah cukup hehe. Lebih rendah mahar, lebih berkat :) Saya pun tidak menyangka segala proses sangat-sangat dimudahkan. Banyak rezeki yang datang tidak disangka-sangka. Tempoh dua minggu inilah sangat sibuk baru nak cari baju, isi borang, kad jemputan, kursus kahwin, tempah katering, pelamin, goodies beg dan lain-lain. Siapa sangka poket kosong macam saya boleh kahwin? :D Tetapi Alhamdulillah, atas rahmat dan rezeki Allah swt, semua kos perkahwinan kami tanpa disangka telah disponsor oleh banyak pihak.

Pada hari pernikahan itulah kali pertama keluarga besar kami berjumpa. Tiga hari kemudian kami pulang ke Terengganu (sehari) dan minggu itu juga terbang semula ke Mesir. Kenduri di bahagian suami ditangguh terlebih dahulu In shaa Allah pada cuti yang akan datang memandangkan kekangan waktu kuliah kami yang sudah bermula.

Tawakal dari awal 4 tahun lepas (2009/2010 - di akhir semester KYUEM), perjalanan hijrah itu saya mulakan dan kini masih berterusan, mudah-mudahan hingga ke akhirnya. Di hati ini, saya yakini yang Allah swt hanya akan beri apa yang terbaik untuk diri ini. Seandainya yang terbaik itu, bekas seorang penjenayah atau kurang ahlaknya, maka itulah dia. Mungkin yang kurang ahlaknya itu yang mendekatkan cinta kita pada Dia. Semoga tawakal ini yang meletakkan cinta Allah swt paling utama kekal selamanya. Cinta ini yang meyakinkan saya, bahawa Allah swt hanya akan memberi apa yang terbaik untuk hambaNya. Hilang kebimbangan kerana saya sedar saya cuma hamba yang layak untuk diuji bila-bila masa. Sampai sini, ada masa saya tulis lagi. 

Kemanisan cinta halal ini yang tidak dapat dijual beli harganya, tetap tidak dapat menandingi kemanisan bercinta dengan Tuhan yang memilik segalanya 

Khas untuk kawan-kawan tersayang dari saya yang banyak dosa  Mohon doa dari semua.