Awak kenapa 'baik' sangat?
Ada orang pelik. Apa motif menunjuk baik seperti ini? Habis duit sana sini. Infak pada program, belanja adik-adik, kawan-kawan, malah orang yang tak kenal lagi. Bukankah lebih bahagia, jika pergi habiskan untuk ZARA, Jimmy Choo atau Gucci?
Awak kenapa 'baik' sangat?
Mungkin awak sangka dengan buat baik pada kami, nanti kami akan buat baik pada orang lain pula. Atau awak sangka nanti kami akan bantu mereka? Buat apa kami balas, lagipun kata awak, ikhlas.
Awak kenapa 'baik' sangat?
Atau awak sengaja tunjuk baik. Jadi ramailah orang terpikat. Awak ingat saya tak tahu awak tu hipokrit? Alah depan manusia, pijak semut tak mati. Belakang mereka, datuk gajah pun lari. Berhentilah awak. Jadilah diri sendiri. Kami benci melihat manusia begini. Ibarat tin kosong. Berlaga bising, bercakap bohong.
Awak kenapa 'baik' sangat?
Bosannya hidup awak ni.. Tiada masa enjoy ke untuk diri sendiri? Atau awak memang suka berprogram sana sini? Gila kerja kah? Workaholic kah? Ah mungkin memang awak suka dengan semua ini.
Untuk kamu yang Allah sayangi..
Diri ini tak mengharap balas kebaikan. Dari satu sen atau sekecil budi. Kalau kamu mahu pergi, silakan pergi.. Tapi saya akan setia di sini.. Walaupun penat usaha begini, tidak tidur sehari-hari.. Walaupun pandangan mereka duit habis tidak bererti.. Ingin memberi dan terus memberi.. Malah saya tidak berkecil hati kalau kamu mahu membenci diri ini.. Perhatian kamu bukan dicari..
Untuk kamu yang Allah sayangi..
Saya bukan manusia suci. Punya sejarah begitu begini. Walaupun sampai saat ini, belum mampu teguh berdiri. Kadang pagi melonjak tinggi, tapi petang sehalus peniti.. Begitulah keadaan iman ini..
Untuk kamu yang Allah sayangi..
Bukan berniat bercakap kosong. Tidak terlintas mahu berbohong.
Tidak mengharap kamu mengerti.
Tidak mengharap harta duniawi.
Hanya mengharap cinta Ilahi.